Monday, April 23, 2007

Memorandum kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Memorandum kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat


Pendahuluan


Wanita JIM menyambut baik inisiatif Kementerian dalam mendapatkan cadangan dan maklumbalas dari masyarakat awam khususnya dari badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha untuk kita memajukan masyarakat Malaysia khususnya dalam bidang pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.


Selaras dengan ini Wanita JIM ingin mengemukakan cadangan kami sebagaimana berikut:


I – Pembangunan Wanita


Isu-isu berkaitan wanita sering kali mendapat perhatian ramai dan disensasikan oleh pelbagai pihak. Isu pindaan Rang Undang-undang Keluarga Islam yang hangat diperkatakan awal tahun ini sebagai contohnya mendatangkan kesan negatif terhadap wanita Islam yang kononnya teraniaya melalui penyemakan undang-undang ini Namun setelah dijelaskan kedudukan perkara yang sebenarnya ternyata keadaan sebaliknya yang berlaku. Kontroversi ini sepatutnya boleh dielakkan sekiranya wanita Islam diambil pandangannya dan isu ini tidak ditangani dengan emosi.


Dengan ini kami mencadangkan usaha:


a. mewujudkan Majlis Perunding Wanita Islam


Majlis ini dianggotai oleh wakil-wakil NGO wanita Islam dan berfungsi sebagai badan rujukan untuk isu-isu yang membabitkan kepentingan Wanita Islam


b. menghapuskan polisi yang mendiskriminasikan pekerja wanita


Walaupun wanita merupakan 43% dari tenaga sumber manusia dalam sektor pekerjaan di Malaysia sekaligus memainkan peranan yang besar dalam pembangunan, namun masih terdapat polisi yang tersurat dan tersirat yang mendiskriminasikan wanita. Antaranya adalah wanita yang menjalani kursus lanjuan seperti kursus Jawi , AlQuran dan Fardhu Ain (JAIQAF) , Kursus Perguruan Lepasan Ijazah(KPLI) dan Kursus Lanjutan Kejururawatan (Post Basic Nursing Course) yang mengandung sewaktu dalam latihan akan ditamatkan kursus mereka tanpa dibolehkan merayu untuk penangguhan. Alasan ramai graduan yang menunggu untuk menjalani kursus berkenaan tidak harus digunakan untuk membenarkan polisi ketinggalan zaman lagi menghina wanita seperti ini. Kerajaan Malaysia melalui kementerian haruslah dilihat sebagai pembela kepada nasib kaum wanita yang mahu menyumbang kepada negara dan pada masa yang sama tidak mengabaikan tugas keibuan mereka dengan mengamalkan polisi yang mesra wanita dan keluarga. Untuk itu kami juga menyokong usaha untuk melanjutkan cuti bersalin bagi wanita dari 60 hari ke 84 hari untuk memastikan wanita dapat menjaga bayi mereka dan menyusukan bayi sepenuhnya bagi tempoh tersebut disamping memastikan mereka benar-benar pulih dan bersedia untuk bekerja.


II – Pembangunan Keluarga


Usaha-usaha pembangunan keluarga memang telah dijalankan oleh kementerian dan patut diberi pujian dan penghargaan. Namun memandangkan indeks sosial terus menunjukkan ketidakupayaan keluarga dalam memastikan pembangunan ahlinya menjadi warga Malaysia yang sejahtera . Persoalannya adalah mengenai keberkesanan program yang dijalankan dan samada program ini sampai ke peringkat akar umbi masyarakat. Disamping itu antara aspek yang masih tidak mendapat perhatian yang sewajarnya adalah peranan bapa selaku pemimpin keluarga ; suami dan bapa yang bertanggungjawab dan penyayang.


Maka kami mencadangkan:


Satu kempen besar-besaran diadakan peringkat Nasional untuk meningkatkan kesedaran peranan kebapaan dalam pembangunan keluarga.


Seterusnya program susulan mestilah dipergiatkan dan dijalankan melalui pelbagai saluran. Antara saluran yang dirasakan paling efektif adalah mewajibkan kursus pembangunan kebapaan kepada semua pekerja. Kursus ini boleh diadakan dengan tema Keluarga dan Kerjaya Seimbang (Work Life Balance) .


III – Kebajikan Warga Malaysia


Tahap kebajikan warga Malaysia masih boleh dipertingkatkan. Kebajikan Ibu Tunggal adalah antara perkara yang wanita JIM merasakan perlu terus dipertingkatkan. Tidak dinafikan golongan ini mendapat perhatian dari pelbagai skim galakan ekonomi yang diperkenalkan. Namun demikian satu aspek yang tidak boleh diabaikan adalah sokongan dari sudut kemahiran membesarkan anak-anak tanpa bapa di sisi.

Adalah diharapkan agar pembelaan nasib golongan Ibu Tunggal ini akan terus mendapat perhatian Kerajaan.



Sekian



Dikemukakan oleh,


Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia







2 comments:

Learn 4 Success said...
This comment has been removed by the author.
Learn 4 Success said...

Assalamualaikum,

Saya ingin tahu bagaimana untuk mendapatkan senarai ibu tunggal di kawasan Selangor & Wilayah?

Saya mempunyai proposal untuk membantu mereka untuk mendapatkan pendapatan secara part-time.

sila hubungi saya di email nhusna@gmail.com atau sms saya di talian : 019-3244972