Friday, May 11, 2007

Sempena Hari Ibu

K enyataan Media Sempena Hari Ibu

Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)


10 Mei 2007


PERKUKUHKAN INSTITUSI KEKELUARGAAN SEBELUM TERLAMBAT


Hari Ibu di Malaysia pada tahun ini disambut dengan berlatarbelakangkan senario gejala sosial yang semakin menjadi-jadi. Saban hari media massa mendedahkan satu demi satu pekung di dada masyarakat yang tidak boleh lagi dipandang remeh dan kecil oleh sesiapa jua yang prihatin dengan perkembangan ini. Setiap kali pendedahan mengenai kebejatan moral dan keruntuhan akhlak terutamanya di kalangan generasi muda dilaporkan, kita tertanya-tanya : ` Apa sudah jadi dengan kita semua? Adakah ini harga yang perlu dibayar lantaran mahu menjadi sebuah negara maju yang terkemuka di peta dunia?’ Apa yang harus dilakukan oleh semua bagi memastikan Malaysia tidak hancur dan punah dek perbuatan tangan rakyatnya sendiri?


Ada baiknya rakyat Malaysia diperingatkan dengan cabaran keempat dan ketujuh dalam mencapai Wawasan 2020 sebagaimana yang digariskan :


Cabaran keempat : Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, yang mana warganegaranya kukuh dalam nilai agama dan kejiwaan dan didorong oleh tahap etika yang paling tinggi.


Cabaran ketujuh : Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mana kepentingan masyarakat lebih utama dari diri sendiri dan kebajikan insan tidak berkisar kepada Negara atau individu tetapi di sekeliling sistem kekeluargaan yang kukuh.


Wanita JIM mengambil kesempatan sempena sambutan Hari Ibu ini untuk memperingatkan setiap ibu di Malaysia perihal pentingnya peranan mereka dalam menyemaikan nilai-nilai etika dan spiritual yang tinggi di kalangan ahli keluarga mereka. Para ibu juga mestilah mengambil langkah-langkah proaktif bagi mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran keibubapaan ( parenting skills) bagi menyediakan anak-anak mereka untuk lebih berupaya menghadapi cabaran masa kini. Banyak kajian yang dijalankan menunjukkan didikan agama adalah satu faktor perlindungan ( protective factor) yang mampu menyelamatkan manusia dari terjebak ke dalam perbuatan keji yang hanya akan merosakkan dirinya sendiri. Apabila pegangan serta keutamaan tidak lagi berkisarkan kepada tunjang agama yang kukuh, dengan mudah sahaja seseorang itu melakukan sesuatu perbuatan yang merugikan diri, keluarga, masyarakat dan negaranya. Ibu bapa Muslim diingatkan akan hadith Rasulullah SAW yang menekankan tentang peranan utama pendidikan asas spiritual dan kerohanian di kalangan anak-anak:


Mafhum hadith :

Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Ibu bapanyalah yang akan menjadikannya seorang Yahudi, Nasrani atau Majusi.


Dalam masa yang sama, Wanita JIM amat bimbang dengan meningkatnya bilangan wanita yang menjadi ibu tanpa nikah yang sah. Laporan akhbar mengenai penemuan mayat-mayat bayi yang dibuang di sana sini begitu menyayat hati, seolah-olah bayi yang suci itu tiada nilai dan harganya lagi. Bagaimanakah tergamaknya hati seorang ibu, yang secara fitrahnya dibekalkan dengan naluri keibuan yang murni, untuk mencampakkan bayi yang baru dilahirkan begitu sahaja? Begitukah sekali tebalnya perasaan individualistik seorang manusia, yang lebih rela menjadi pembunuh anak kandungnya sendiri daripada rahsianya menghamil dan melahirkan anak di luar nikah yang sah itu terbongkar kepada umum?


Perzinaan tidak boleh hanya dilihat dari sudut perlanggaran hukum sesuatu agama semata-mata. Malahan sebab utama agama melarang perbuatan zina adalah kerana ianya akan merosakkan kehidupan manusia, bukan hanya sipelaku zina sahaja, malahan ahli masyarakat yang lain. Apa yang nyata, perzinaan mempunyai kesan negatif terhadap tahap kesihatan reproduksi dan seksual wanita juga lelaki yang terlibat. Begitu banyak masalah kesihatan khusus untuk wanita yang berpunca dari perzinaan – kehamilan yang tidak dikehendaki, pengguguran, penyakit jangkitan kelamin, penyakit psikiatri seperti kemurungan dan keresahan, kanser pangkal rahim dan ketidaksuburan. Apabila sesuatu kehamilan tidak dikehendaki, berlakulah pula pengabaian terhadap jagaan antenatal yang akhirnya menyebabkan sebarang komplikasi dalam kehamilan tersebut tidak dapat dikesan dan dirawat awal. Biasanya mereka yang cuba menyembunyikan kehamilan akan hanya dibawa ke hospital apabila sudah berada di peringkat lewat.


Banyak saranan demi saranan dibuat bagi menangani masalah pembuangan bayi – antaranya saranan untuk menyediakan kaedah merancang keluarga secara percuma kepada remaja dan belia yang aktif secara seksual, mengadakan rumah perlindungan bagi wanita yang hamil di luar nikah yang sah, menyediakan satu tempat khas untuk menerima bayi-bayi yang tidak dikehendaki dan juga cadangan untuk memperketatkan lagi undang-undang ke atas ibu-ibu yang membuang bayi mereka. Wanita JIM berpandangan semua langkah tersebut tertumpu kepada penyelesaian di peringkat akhir atau cubaan untuk merawat luka yang sudah parah.


Usaha mesti ditumpukan dan dipertingkatkan dengan serius untuk menghalang dan mengelakkan zina dari berleluasa! Wanita JIM beranggapan usaha ini tidak sama sekali mustahil dan amat boleh diusahakan sekiranya ada kemahuan dan desakan dari semua pihak! Hendak seribu daya, tak mahu seribu dalih. Para ibu dan bapa mestilah dapat menanamkan nilai dan sikap yang betul ke dalam diri anak-anak. Di samping itu, anak-anak mestilah dibekalkan rasa jati diri yang tinggi yang akan menjadi perisai yang kukuh untuk menolak segala ajakan mendekati perzinaan di mana jua mereka berada. Sebarang bibit perpecahan dalam rumahtangga mestilah ditangani dengan bijak agar institusi kekeluargaan tidak pincang. Setiap rumahtangga yang berkocak dengan perbalahan dan kemahiran berkomunikasi yang rendah, akan menghampirkan lagi anak-anak dalam rumahtangga itu ke lembah kerosakan dan keruntuhan akhlak.


Wanita JIM menyarankan agar keutamaan diberikan kepada:


  1. usaha mendidik para ibu dan bapa dengan kemahiran keibubapaan yang tinggi, agar mereka mampu mendisiplinkan anak-anak dengan ketegasan dan kasih sayang ( Discipline with Love)

  2. usaha bersepadu semua pihak untuk mencegah zina di semua peringkat

  3. usaha memulihkan ( rehabilitate) dari sekadar melindungi (shelter) wanita yang hamil tanpa nikah yang sah


Moga institusi kekeluargaan di Malaysia mampu terus bertahan!



Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj

Ketua Wanita Pusat

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) ( 012-3243134)

No comments: