KENYATAAN MEDIA
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)
21 Februari 2007
Wanita JIM merakamkan rasa amat terharu dan sedih di atas kematian dua orang kanak-kanak berusia enam tahun dan 11 bulan yang dikatakan dibunuh oleh ibu kandung mereka sendiri di batu maung, Pulau Pinang dua hari lepas.
Insiden ini menambahkan lagi bilangan kes pembunuhan anak-anak oleh bapa atau ibu kandung yang semakin kerap dilaporkan di akhbar sejak akhir-akhir ini. Seolah-olah terdapat satu trend yang begitu mencemaskan dalam masayarakat kita, di mana ibu bapa tidak lagi teragak-agak menamatkan riwayat anak-anak kandung mereka sendiri apabila bertemu jalan buntu kepada permasalahan kewangan atau hubungan antara suami dan isteri.
Kes terbaru yang dikatakan berpunca dari kemarahan isteri terhadap suami yang mahu berkahwin lain, menjadi satu kes studi yang mesti diteliti sedalam-dalamnya. Pembunuhan tersebut adalah kemuncak dari satu luahan perasaan yang selama ini tertekan serta tidak dapat diluahkan secara efektif kepada pihak yang satu lagi. Sukar untuk seseorang memahami bagaimanakah seorang ibu kandung tergamak untuk membunuh dua orang anaknya sendiri. Penjelasan mudah yang sering kita berikan adalah kemungkinan besar ketika itu, si ibu muda tersebut tidak lagi bertindak di bawah kawalan akal yang waras.
Wanita JIM menyatakan kebimbangan mengenai berapa ramai lagi wanita bergelar isteri yang masih menyimpan dendam dan tekanan perasaan sepertimana ibu muda tersebut. Wanita JIM mencadangkan langkah-langkah praktikal membantu mereka yang berada dalam situasi ini SEGERA diambil. Masyarakat mesti didedahkan kepada tanda-tanda kemurungan yang boleh dikesan berlaku pada diri seseorang yang sedang mengalami tekanan yang hebat. Seterusnya masyarakat harus diberikan saluran mudah untuk merujuk individu-individu ini kepada institusi atau orang perseorangan yang boleh membantu secara professional.
Suami juga mestilah dibimbing untuk mengesan tanda-tanda kemurungan di kalangan isteri mereka, dan bukannya tidak mengendahkan sahaja perubahan-perubahan yang berlaku. Komunikasi dua hala mestilah dikekalkan dan tidak beralih kepada SMS melalui telefon bimbit sebagai cara berkomunikasi dan menyelesaikan perselisihan. Marilah kita serius menangani symptom ( tanda penyakit) yang menandakan status kritikal institusi rumahtangga dan keluarga di negara ini.
Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj ( 012-3243134)
Ketua Wanita Pusat Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)
No comments:
Post a Comment