Monday, May 21, 2007

Lawatan Timbalan Ketua Wanita JIM ke Sarawak : Perjumpaan dengan ahli JIM Bintulu







Lawatan Timbalan Ketua Wanita JIM ke Sarawak : Perjumpaan dengan ahli JIM Bintulu

Pada 11 Mei 2007 , Timbalan Ketua Wanita Jamaah Islah Malaysia (JIM) Pusat Dr Hafidzah Hj Mustakim tiba di Bintulu untuk mengadakan lawatan kerja menemui ahli wanita JIM Sarawak di Bintulu. Ketibaan beliau dan suami Che Rahimi Samat dari Kuala Lumpur telah di sambut oleh Ketua Wanita JIM Sarawak Puan Junaidah Sagikin dan suami En Khairul . Pertemuan bersama ahli- ahli JIM Bintulu telah diadakan di Tadika Brillliant Kindy, Bintulu . Yang Dipertua JIM Daerah Bintulu En Anuar dalam ucapan alua-aluannya merakamkan rasa penghargaan di atas kunjungan wakil dari pimpinan pusat ke Bintulu. Beliau juga berpuashati di atas kesepaduan kerja yang ditunjukkan oleh ahli-ahli JIM Bintulu disamping menegaskan sokongan beliau dan ahli-ahli lelaki JIM terhadap program yang dianjurkan oleh Wanita JIM.

Seterusnya dalam taklimatnya Puan Junaidah Sagikin selaku Ketua Wanita JIM Sarawak menerangkan tentang kedudukan dan aktiviti Wanita JIM Sarawak yang tertumpu sekitar Kuching, Miri dan Bintulu. Di samping mengadakan seminar-seminar pendidikan wanita dan seperti Bengkel Personaliti Unggul, wanita JIM Sarawak juga giat menjalankan kumpulan-kumpulan pengajian untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran wanita . Wanita JIM Sarawak juga aktif menjalankan program pembangunan remaja dan salah satu program yang bakal dijalankan adalah Program Remaja Berwawasan. Cik Hasmah graduan lepasan UITM Dungun selaku wakil dari wanita JIM Miri turut berkongsi pengalaman menjalankan aktiviti pembangunan wanita di Miri .

Dalam ucapannya Dr Hafidzah Mustakim mengatakan ucapan penghargaan dan syabas di atas kegigihan Wanita JIM Sarawak dalam menunaikan tanggungjawab pengislahan dan pembaikan masyarakat yang begitu mencabar di bumi Kenyalang. Wanita JIM Pusat sentiasa berusaha untuk memberikan sokongan dan bantuan yang diperlukan dalam menjayakan aktiviti Wanita JIM Sarawak. Beliau juga mengingatkan agar ahli-ahli wanita JIM Sarawak meningkatkan kemahiran terutama di sudut ICT agar dapat sama-sama menyumbang disudut forum maya Wanita JIM . Disamping itu ahli-ahli wanita juga diseru untuk melepaskan kekangan minda yang ada agar dapat terus maju menyebarkan cara hidup Islam yang sebenar ke dalam masyarakat. Dalam majlis tersebut Che Rahimi Samat yang merupakan ahli jawatankuasa JIM Kelantan juga berkongsi tips pembinaan generasi pelapis kepada ahli-ahli JIM.

Antara Cita-cita dan Cinta:

Program Remaja Berwawasan

Pada 12 Mei 2005 Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) telah menganjurkan program pembangunan remaja bernama Program Remaja Berwawasan. Program yang mendapat kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah berjaya mengumpulkan seramai 250 orang remaja dari sekolah menengah sekitar Bintulu. SMK Bintulu sahaja menghantar sekitar 50 pelajar. SMK Tatau (lebihkurang 1 jam + perjalanan dari Bintulu juga menghantar peserta dan guru pengiring)

Tepat jam 2 petang Dewan Oditorium BDA (Bintulu Development Authority) telah dipenuhi pelajar berusia 15 – 18 tahun bersama guru-guru pengiring mereka .

Tajuk penyampaian petang tu memang mengancam dan menarik perhatian pelajar “Antara Cinta dan Cita2” . Dengan bantuan bahan multimedia yang dihasilkan Dr Hishamuddin Alham (JIM Johor) “Impian Kasih: Antara Fantasi dan Realiti”, slot 2 jam yang diperuntukan dipergunakan sepenuhnya oleh penceramah jemputan Dr Hafidzah Mustakim .

Dr Hafidzah berjaya menerangkan kepada peserta tentang fasa-fasa perkembangan remaja dan perubahan yang dialami remaja ketika tumbesaran ini. Semasa proses pembesaran, remaja mengalami pelbagai perubahan besar dalam diri mereka disudut fizikal, emosi dan juga mental . Jika ini dapat di fahami dan di tangani dengan kefahaman yang betul maka banyak gejala negatif dapat dihindarkan. Dalam program ini remaja diberikan pendedahan tentang realiti kehidupan remaja yag tersasar sekiranya mereka mengikut perasaan dan naluri negatif dalam diri . Dr Hafidzah juga mengajak remaja untuk berfikir secara rasional dan mencari panduan yang betul dalam kehidupan agar mereka dapat melakukan sesuatu berdasarkan keutamaan yang betul dalam kehidupan. Panduan cara hidup Islam yang terbukti benar dalam pergaulan dan menangani emsoi remaja juga dibincangkan agar remaja dapat melalui zaman yang mencabar ini dengan jayanya.

Beberapa soalan samada secara lisan atau pun sms yang diterima selepas ceramah memang mencabar minda kita selaku pendakwah. Antaranya:

”Dr , kmk (kame’ – saya dlm bahasa sarawak) ada bercinta dengan pompuan beragama lain, apa pendapat dr”

” Boleh ke berdoa untuk pemuda yang beragama lain”

” Dr apa itu teruna, apa itu dara”

” Dr ramai kawan2 saya couple, saya pun couple tapi yang ringan aje dr, tak buat yang berat2....”

”Klu orang bertunang, boleh pegang tangan ke?”

”Adakah seorang wanita yang diperkosa sudah tidak dara atau hilang kehormatannya walaupun dia tidak mahu melakukannya?”

Jelas daripada soalan yang diajukan bahawa remaja hari ini sememangnya amat memerlukan bimbingan dan panduan dari sumber yang boleh dipercayai untuk membantu mereka mengharungi kehidupan.

Sewaktu minum petang antara ustazah yang mengiringi pelajar juga berkongsi masalah yang dihadapi oleh pelajar sekolah mereka. Antaranya ada yang ibubapa bercerai , ayah beragama Islam , ibu iban yang memeluk agama Islam. Bila bercerai ditinggalkan suami terpaksalah siibu dan anak kembali ke keluarga yang asal . Disinilah dilema si anak bagaimana mahu mempraktikkan keislaman dalam suasana demikian. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada saudara-saudara kita dalam usaha mereka mendidik dan memberikan kesedaran Islam kepada masyarakat Sarawak.

Ceramah Keibubapaan Islam di Hospital Bintulu

Persatuan Kebajikan Islam Perubatan (PERKIP) Hospital Bintulu dengan kerjasama Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Bintulu telah berjaya mengadakan program Ceramah Keibubapaan dalam Islam pada 13 Mei 2007. Program yang diadakan di Dewan seminar Hospital telah berjaya mengumpulkan sekitar 50 kakitangan Hospital Bintulu. En Taib Taha Penyelia Dietetik Hospital Bintulu turut serta dalam program tersebut.

En Muhamad wakil PERKIP dalam ucapan aluannya menekankan kepentingan ibubapa mempunyai ilmu dan kemahiran dalam mendidik anak dalam zaman yang serba mencabar ini. Beliau menyebutkan tentang hadis Nabi SAW yang mengatakan bahawa setiap anak itu dilahirkan suci mengikut fitrah, ibubapanya lah yang menjadikan anak mereka seperti yahudi, nasrani atau majusi.

Penceramah jemputan Dr Hafidzah Mustakim , Timbalan Ketua Wanita JIM dalam penyampaian beliau menyebutkan hasil kajian yang menunjukkan bahawa hubungan yang erat antara bapa dan anak-anak serta anggota keluarga berkait langsung dengan kesejahteraan kesihatan bapa tersebut. Beliau juga menyenaraikan ciri-ciri ibubapa berjaya sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Antara lain ciri-ciri ini adalah:

  1. Penyabar tidak Pemarah
  2. Lemah Lembut tidak Keras
  3. Kasih Sayang
  4. Mempermudah
  5. Fleksibel
  6. Tidak Marah/Mengikut perasaan
  7. Beri nasihat kena pada waktunya

Beliau turut menerangkan konsep psikologi pendidikan anak-anak sebagaimana yang ditunjukkan oleh Saidina Ali r.a iaitu membahagikan fasa mendidik anak kepada beberapa bahagian. Tujuh tahun pertama ibubapa dinasihatkan untuk menggunakan kaedah bermain dengan anak, tujuh tahun kedua masa untuk mendisiplinkan anak, tujuh tahun beikutnya berkawan dengan anak dan tahun seterusnya ibubapa mestilah menerima hakikat bahawa anak mereka telah dewasa dan wajar diperlakukan selayaknya sebagai orang dewasa.

Majlis di akhiri dengan penceramah berinteraksi dan beramahmesra dengan hadirin yang hadir.

Bengkel Personaliti Unggul Wanita JIM Bintulu

Pada 13 Mei 2007 Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Sarawak telah berjaya menganjurkan Bengkel Personaliti Unggul (BPU). Mereka telah berjaya mengulangi kejayaan penganjuran program ini yang mula diperkenalkan oleh Wanita JIM Selangor pada febuari 2007. Program sehari ini turut di hadiri oleh Ketua Wanita JIM Sarawak Puan Junaidah Ragikin.

Program di mulakan dengan majlis perasmian Bengkel Personaliti Unggul. Dengan tema “Wanita Unggul Teras Negara” Puan Haziah Sahari selaku pengarah program dalam ucapan aluannya memberikan pengenalan tentang BPU dan usaha Wanita JIM dalam memartabatkan wanita Islam ke tempatnya yang sebenar. Dengan usaha barisan Ahli Jawatan Kuasa , mereka berjaya mengumpulkan 120 orang wanita sekitar Bintulu untuk menghadiri program. Kejayaan mereka juga terletak dalam mendapat penajaan badan korporat dan orang perseorangan untuk ibu tunggal yang turut hadir sebagi peserta. Pn Jamilah seorang usahawan butik turut menyumbang tenaga dan kemahiran dalam program ini.

Dr Hafidzah Mustakim, Timbalan Ketua Wanita JIM dalam ucapan perasmiannya mengajak wanita Bintulu untuk bersama-sama memartabatkan wanita Islam ke tempatnya yang sebenarnya. Wanita mestilah mempunyai ilmu dan kemahiran tentang kedudukan mereka dan terus memberikan sumbangan yang diperlukan dalam pembangunan negara. Pada masa yang sama mereka harus bijak dari menjadi mangsa fahaman kebendaan dan kapitalis yang sentiasa mengambil kesempatan dari kelemahan wanita dalam sudut kecantikan dan kemewahan. Hanya dengan kembali kepada cara hidup Islam yang sebenar , wanita dapat membebaskan diri dari cengkaman hawa nafsu kecantikan luaran yang memperdayakan dan meminta masyarakat menilai mereka di sudut kecantikan dalaman yang bertunjangkan iman dan taqwa kepada Allah sang maha pencipta.

Pengisian seterusnya adalah Bicara Unggul 1 bertajuk “Wanita Unggul dari Perspektif Lelaki” yang disampaikan oleh motivator terkenal. Dr HM Tuah yang menyampaikan pelbagai tips menarik tentang keunggulan wanita di mata lelaki.

Pada sebelah petang Dr Hafidzah meneruskan bicara dengan tajuk “ Cantik Luar, Cantik dalam”. Dalam slot ini beliau menjelaskan neraca dan kayu ukur yang harus digunakan wanita dalam menjadi wanita yang berpersonaliti unggul. Hakikat kecantikan wanita yang hakiki adalah apabila kecantikan yang dicari selari dengan ukuran keimanan yang mendalam kepada Allah SWT. Wanita mestilah berusaha menjaga kecantikan dalaman disamping tidak mengabaikan penampilan luaran.

Islam sebagai agama dan cara hidup fitrah tidak sekali-kali menghalang wanita untuk berhias dan menjaga kecantikan selagi mana ianya tidak melanggar batas yang telah ditentukan oleh Allah. Beliau seterusnya menggariskan 10 tips untuk wanita mencapai keperibadian unggul yang merangkumi penjagaan aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial seseorang.

Majlis di akhiri dengan pertunjukkan fesyen busana Muslimah oleh butik milik Puan Jamilah. Rata-rata peserta yang datang amat berpuashati dengan program sehari yang dianjurkan Wanita JIM. Mereka berharap agar program seumpama ini dapat diadakan di masa akan datang.

Friday, May 18, 2007

ANDA BIJAK JAUHI ZINA


JOM bersama sertai KEMPEN ANDA BIJAK JAUHI ZINA
Kempen ini akan dilancarkan pada 14 JULAI 2007 bersempena MALAM AMAL RAUDHATUS SAKINAH (MARS 2007). Kempen ini akan dilancarkan oleh SPB Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.
Bagaimana untuk dapatkan sticker ini?
Sila hubungi bahagian sekretariat MARS 2007 di ibu pejabat JIM :
1. Cik Nazirah Idris / wjim@pd.jaring .my
2. Pn Siti Hamisah Manan / 019 2227506 / ummu_anis@yahoo. com
Tel Pej : 03 4108 9669/ 03 4107 3379
Faks : 03 4107 1754
APA TUNGGU LAGI? SEKEPING RM5 SAHAJA!
BERBALOI PELABURAN DUNIA AKHIRAT.. INSYAALLAH
JOM IMARAHKAN KEMPEN ANDA BIJAK JAUHI ZINA SELURUH MALAYSIA!!!
---
Nazirah Idris
Peg Eks Wanita JIM
Ibu Pej JIM

Friday, May 11, 2007

Sempena Hari Ibu

K enyataan Media Sempena Hari Ibu

Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)


10 Mei 2007


PERKUKUHKAN INSTITUSI KEKELUARGAAN SEBELUM TERLAMBAT


Hari Ibu di Malaysia pada tahun ini disambut dengan berlatarbelakangkan senario gejala sosial yang semakin menjadi-jadi. Saban hari media massa mendedahkan satu demi satu pekung di dada masyarakat yang tidak boleh lagi dipandang remeh dan kecil oleh sesiapa jua yang prihatin dengan perkembangan ini. Setiap kali pendedahan mengenai kebejatan moral dan keruntuhan akhlak terutamanya di kalangan generasi muda dilaporkan, kita tertanya-tanya : ` Apa sudah jadi dengan kita semua? Adakah ini harga yang perlu dibayar lantaran mahu menjadi sebuah negara maju yang terkemuka di peta dunia?’ Apa yang harus dilakukan oleh semua bagi memastikan Malaysia tidak hancur dan punah dek perbuatan tangan rakyatnya sendiri?


Ada baiknya rakyat Malaysia diperingatkan dengan cabaran keempat dan ketujuh dalam mencapai Wawasan 2020 sebagaimana yang digariskan :


Cabaran keempat : Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, yang mana warganegaranya kukuh dalam nilai agama dan kejiwaan dan didorong oleh tahap etika yang paling tinggi.


Cabaran ketujuh : Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mana kepentingan masyarakat lebih utama dari diri sendiri dan kebajikan insan tidak berkisar kepada Negara atau individu tetapi di sekeliling sistem kekeluargaan yang kukuh.


Wanita JIM mengambil kesempatan sempena sambutan Hari Ibu ini untuk memperingatkan setiap ibu di Malaysia perihal pentingnya peranan mereka dalam menyemaikan nilai-nilai etika dan spiritual yang tinggi di kalangan ahli keluarga mereka. Para ibu juga mestilah mengambil langkah-langkah proaktif bagi mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran keibubapaan ( parenting skills) bagi menyediakan anak-anak mereka untuk lebih berupaya menghadapi cabaran masa kini. Banyak kajian yang dijalankan menunjukkan didikan agama adalah satu faktor perlindungan ( protective factor) yang mampu menyelamatkan manusia dari terjebak ke dalam perbuatan keji yang hanya akan merosakkan dirinya sendiri. Apabila pegangan serta keutamaan tidak lagi berkisarkan kepada tunjang agama yang kukuh, dengan mudah sahaja seseorang itu melakukan sesuatu perbuatan yang merugikan diri, keluarga, masyarakat dan negaranya. Ibu bapa Muslim diingatkan akan hadith Rasulullah SAW yang menekankan tentang peranan utama pendidikan asas spiritual dan kerohanian di kalangan anak-anak:


Mafhum hadith :

Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Ibu bapanyalah yang akan menjadikannya seorang Yahudi, Nasrani atau Majusi.


Dalam masa yang sama, Wanita JIM amat bimbang dengan meningkatnya bilangan wanita yang menjadi ibu tanpa nikah yang sah. Laporan akhbar mengenai penemuan mayat-mayat bayi yang dibuang di sana sini begitu menyayat hati, seolah-olah bayi yang suci itu tiada nilai dan harganya lagi. Bagaimanakah tergamaknya hati seorang ibu, yang secara fitrahnya dibekalkan dengan naluri keibuan yang murni, untuk mencampakkan bayi yang baru dilahirkan begitu sahaja? Begitukah sekali tebalnya perasaan individualistik seorang manusia, yang lebih rela menjadi pembunuh anak kandungnya sendiri daripada rahsianya menghamil dan melahirkan anak di luar nikah yang sah itu terbongkar kepada umum?


Perzinaan tidak boleh hanya dilihat dari sudut perlanggaran hukum sesuatu agama semata-mata. Malahan sebab utama agama melarang perbuatan zina adalah kerana ianya akan merosakkan kehidupan manusia, bukan hanya sipelaku zina sahaja, malahan ahli masyarakat yang lain. Apa yang nyata, perzinaan mempunyai kesan negatif terhadap tahap kesihatan reproduksi dan seksual wanita juga lelaki yang terlibat. Begitu banyak masalah kesihatan khusus untuk wanita yang berpunca dari perzinaan – kehamilan yang tidak dikehendaki, pengguguran, penyakit jangkitan kelamin, penyakit psikiatri seperti kemurungan dan keresahan, kanser pangkal rahim dan ketidaksuburan. Apabila sesuatu kehamilan tidak dikehendaki, berlakulah pula pengabaian terhadap jagaan antenatal yang akhirnya menyebabkan sebarang komplikasi dalam kehamilan tersebut tidak dapat dikesan dan dirawat awal. Biasanya mereka yang cuba menyembunyikan kehamilan akan hanya dibawa ke hospital apabila sudah berada di peringkat lewat.


Banyak saranan demi saranan dibuat bagi menangani masalah pembuangan bayi – antaranya saranan untuk menyediakan kaedah merancang keluarga secara percuma kepada remaja dan belia yang aktif secara seksual, mengadakan rumah perlindungan bagi wanita yang hamil di luar nikah yang sah, menyediakan satu tempat khas untuk menerima bayi-bayi yang tidak dikehendaki dan juga cadangan untuk memperketatkan lagi undang-undang ke atas ibu-ibu yang membuang bayi mereka. Wanita JIM berpandangan semua langkah tersebut tertumpu kepada penyelesaian di peringkat akhir atau cubaan untuk merawat luka yang sudah parah.


Usaha mesti ditumpukan dan dipertingkatkan dengan serius untuk menghalang dan mengelakkan zina dari berleluasa! Wanita JIM beranggapan usaha ini tidak sama sekali mustahil dan amat boleh diusahakan sekiranya ada kemahuan dan desakan dari semua pihak! Hendak seribu daya, tak mahu seribu dalih. Para ibu dan bapa mestilah dapat menanamkan nilai dan sikap yang betul ke dalam diri anak-anak. Di samping itu, anak-anak mestilah dibekalkan rasa jati diri yang tinggi yang akan menjadi perisai yang kukuh untuk menolak segala ajakan mendekati perzinaan di mana jua mereka berada. Sebarang bibit perpecahan dalam rumahtangga mestilah ditangani dengan bijak agar institusi kekeluargaan tidak pincang. Setiap rumahtangga yang berkocak dengan perbalahan dan kemahiran berkomunikasi yang rendah, akan menghampirkan lagi anak-anak dalam rumahtangga itu ke lembah kerosakan dan keruntuhan akhlak.


Wanita JIM menyarankan agar keutamaan diberikan kepada:


  1. usaha mendidik para ibu dan bapa dengan kemahiran keibubapaan yang tinggi, agar mereka mampu mendisiplinkan anak-anak dengan ketegasan dan kasih sayang ( Discipline with Love)

  2. usaha bersepadu semua pihak untuk mencegah zina di semua peringkat

  3. usaha memulihkan ( rehabilitate) dari sekadar melindungi (shelter) wanita yang hamil tanpa nikah yang sah


Moga institusi kekeluargaan di Malaysia mampu terus bertahan!



Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj

Ketua Wanita Pusat

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) ( 012-3243134)