Wednesday, October 10, 2007

HENTIKAN SEGERA PENYEBARAN GAMBAR BEDAHSIASAT NURIN

KENYATAAN MEDIA

Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)

11 Oktober 2007

HENTIKAN SEGERA PENYEBARAN GAMBAR BEDAHSIASAT NURIN

Belum pun hilang kesedihan kita atas tragedi yang menimpa Nurin Jazlin Jazimin mangsa keganasan seksual melampau, kini kita digemparkan dengan penyebaran gambar bedahsiasat Nurin melalui internet dan SMS.

Wanita JIM merasa begitu kesal terhadap perbuatan pihak yang mendalangi penyebaran gambar bedahsiasat berkenaan yang merupakan suatu rahsia dan bahan bukti penting . Seolah-olah tidak cukup kesengsaraan yang dialami oleh keluarga Nurin sebelum ini sehingga mereka pula terpaksa menanggung derita apabila gambar Nurin dalam keadaan yang menyayat hati disebarkan sebegitu rupa.

Adalah amat ironi sekali, sementara kita merayakan puncak kegemilangan rakyat Malaysia yang berjaya melakar sejarah penerokaan angkasa lepas, ada segelintir di antara kita yang sanggup memecahkan amanah kerahsiaan tugas yang disandang sehingga mengakibatkan penyebaran gambar tersebut. Ini juga menggambarkan mentaliti sebahagian anggota masyarakat yang tidak beretika, suka kepada perkara lucah dan sensasi sehingga mereka sanggup membantu menyebarkan gambar tersebut. Ke manakah menghilangnya nilai-nilai kemanusiaan dan belas kasihan kita? Pernahkah kita memikirkan kesusahan dan penderitaan yang dilalui oleh keluarga arwah Nurin yang kini terpaksa meneruskan duka lara menanggung kepedihan hati apabila mengetahui gambar Nurin disebarluaskan. Bukankah setiap dari kita mempunyai tanggungjawab sosial untuk memelihara keaiban dan maruah sesama insan?

Ambillah iktibar dari apa yang dikatakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud, ”Barangsiapa menutup (keaiban) saudaranya di dunia, maka Allah akan menutup (keaiban) nya di dunia dan di akhirat”

Apapun motif penyebaran ini , sebagai organisasi yang prihatin Wanita JIM menyeru agar:

Penyebaran gambar bedahsiasat Nurin mestilah dihentikan segera. Sekiranya anda menerima SMS /email berkenaan jangan lanjutkan kepada orang lain.
Penyiasatan yang telus, segera dijalankan untuk mengesan dalang yang menjadi punca penyebaran gambar ini. Wanita JIM menyokong penuh kenyataan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang mahukan siasatan segera dijalankan dan tindakan tegas tanpa memilih bulu dikenakan kepada sesiapa yang bertanggungjawab .
Hormatilah perasaan orang lain terutama anggota keluarga mangsa. Perkara yang sama boleh terjadi kepada diri kita dan anggota keluarga kita.

Marilah kita sama-sama berganding bahu membenteras segala kejahatan dan kerosakan dalam masyarakat kita ke arah membentuk Malaysia yang aman dan sejahtera.


Ditandatangani oleh:
Dr. Hafidzah Mustakim
Timbalan Ketua Wanita Pusat JIM