Friday, May 30, 2008

ISU SARANAN PENILAIAN SEMULA BAJU KURUNG PUTIH SEKOLAH UNTUK PELAJAR PEREMPUAN

KENYATAAN MEDIA

WANITA PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA (JIM)

29 Mei 2008

Wanita JIM mengikuti perkembangan semasa ekoran saranan penilaian semula baju kurung putih sekolah yang dipakai oleh pelajar-pelajar perempuan yang dikemukakan oleh Saudari Munirah Bahari, Naib Presiden Majlis Hal Ehwal Siswi (HEWI), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) melalui siaran media bertarikh 21 Mei yang lalu.

Wanita JIM berbangga dengan keprihatinan dan keberanian pihak HEWI PKPIM mengeluarkan siaran media menyentuh mengenai permasalahan sosial dan gejala seksual di kalangan remaja. Sebagai sebuah pertubuhan pelajar di peringkat kebangsaan, sudah seharusnya PKPIM sentiasa lantang menyuarakan pandangan dan pendirian serta cadangan mereka demi untuk proses penambahbaikan masyarakat, sesuai dengan moto PKPIM ` Hidup Biar Berjasa'.

Seperti yang dijangkakan, saranan HEWI PKPIM agar baju kurung sekolah berwarna putih dinilai semula kerana dikatakan terlalu jarang dan boleh menyebabkan tarikan kepada lelaki dan menyumbang kepada berlakunya gejala seksual di kalangan pelajar sekolah, menimbulkan pelbagai reaksi dari banyak pihak. Antaranya dari Menteri Pelajaran sendiri, wakil-wakil pertubuhan wanita seperti Sisters in Islam (SIS) dan Women's Aids Organization (WAO) yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut yang dianggap tidak berasas dan kurang tepat. Kenyataan balas PKPIM mengenai isu tersebut yang dikeluarkan pada 23 Mei, tetap mempertahankan saranan mereka dengan mengemukakan lima asas kepada cadangan tersebut.

Wanita JIM telah sekelian lama menegaskan bahawa permasalahan sosial dan gejala seksual yang semakin menjadi-jadi di kalangan pelajar sekolah di Malaysia sebenarnya berpunca dari krisis nilai dan hakisan pegangan agama serta moral yang sedang hebat melanda masyarakat hari ini. Tiada penyelesaian mudah dan simplistik yang akan berjaya mengatasi masalah ini, tidak juga sebarang perubahan polisi dan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat – selagi mana asas kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan negara tidak diletakkan di atas landasan aqidah dan kepercayaan yang mantap, nilai kemanusiaan serta sifat hormat-menghormati sesama insan yang teguh dan kukuh.

Baju kurung seragam berwarna putih telah sekian lama dipakai oleh pelajar perempuan ke sekolah di Malaysia tanpa menimbulkan sebarang masalah. Melalui bimbingan dan pedoman ibu bapa dan guru, pelajar perempuan mengatasi masalah `kejarangan' baju kurung seragam kain kapas putih itu dengan cara terbaik – sama ada dengan bertudung ataupun memakai pakaian dalam atau `camisole'. Kebiasaan itu tidak seharusnya dianggap sebagai sesuatu yang kolot dan tidak mengikut peredaran masa, memandangkan zaman persekolahanlah waktu paling sesuai untuk menyemai amalan etiket berpakaian yang sesuai dengan pegangan agama dan budaya tempatan di kalangan remaja lelaki dan perempuan.

Namun tidak dapat dinafikan, hari ini terdapatnya segelintir pelajar sekolah yang tidak mematuhi norma-norma serta etiket cara berpakaian yang sewajarnya. Berpakaian seragam baju kurung putih yang agak jarang tanpa memakai pakaian dalam / camisole atau tudung yang sempurna, akan menampakkan baju dalam dan susuk tubuh yang tentunya kurang sesuai dan tidak manis dipandang mata di khalayak umum. Fenomena inilah yang menjadi kerisauan dan kebimbangan PKPIM, sehingga mereka menyarankan kepada Kementerian Pelajaran agar menilai semula warna putih baju kurung sekolah dengan kadar yang segera.

Wanita JIM berpandangan saranan tersebut sebenarnya agak simplistik dan kurang efektif serta praktikal untuk menangani permasalahan sosial yang semakin meruncing. Wanita JIM berharap cadangan itu tidak menggambarkan tanggapan bahawa wanita adalah semata-mata objek seksual yang bertanggungjawab sepenuhnya menjaga moral masyarakat. Golongan pelajar perempuan yang didapati berpakaian secara kurang sopan mestilah dididik dan dinasihati oleh ibu bapa, golongan dewasa dan para guru melalui pendekatan yang efektif dan berhemah, agar remaja ini menyedari akan tanggungjawab mereka menghormati tubuh badan sendiri di samping bijak membuat pilihan yang baik untuk kepentingan diri dan kebaikan orang lain. Proses pendidikan ini juga haruslah merangkumi pelajar lelaki yang perlu didedahkan kepada sikap tanggungjawab yang tinggi di samping saling hormat - menghormati dalam hubungan silang jantina. Kawalan yang lebih efektif mestilah dikenakan terhadap unsur-unsur lucah yang dipaparkan dalam media elektronik, media cetak dan internet yang sememangnya mempunyai kesan negatif terhadap minda muda remaja.

Dalam masa yang sama, Wanita JIM turut merakamkan rasa bimbang yang amat sangat terhadap penglibatan remaja lelaki dan perempuan di Malaysia dengan gaya hidup hedonisme yang keterlaluan menyembah kemewahan, keseronokan dan materialisme, pergaulan bebas, tingkah laku seksual tanpa batas dan ketagihan arak serta dadah. Wanita JIM mahu semua pihak terutamanya di kalangan pemerintah atasan negara untuk memberikan keutamaan yang tinggi kepada penyelesaian terhadap keruntuhan moral dan akhlak remaja hari ini yang rata-ratanya berpunca dari hakisan pegangan hidup beragama dan kemerosotan nilai moral. Ingatlah pepatah Melayu : ` Pemuda harapan bangsa, Pemudi tiang negara.' Janganlah hendaknya Malaysia `runtuh' disebabkan golongan muda yang tidak mampu menjadi harapan dan tiang seri bagi pembangunan di masa hadapan.

Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj

Ketua Wanita Pusat

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)



D


Poligami Bukan Penyelesai Semua Masalah Rumahtangga




30/05/2008


KENYATAAN MEDIA

WANITA PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA (JIM)

29 Mei 2008

POLIGAMI BUKAN PENYELESAI SEMUA MASALAH RUMAHTANGGA

Wanita JIM merasa amat terkilan dengan pandangan dan saranan yang diutarakan oleh Ahli Parlimen Bebas dari Pasir Mas, YB Ibrahim Ali semasa perbincangan mengenai permasalahan wanita berurusan dengan Mahkamah Syariah diadakan dalam sesi Parlimen hari Jumaat lalu. Beliau dikatakan menyampuk perbincangan tersebut sambil mengatakan permasalahan rumahtangga dan keluarga berpunca dari keengganan wanita menerima poligami. Menurut laporan akhbar The STAR online bertarikh 23 Mei 2008, beliau berpandangan wanita tidak memahami keperluan suami yang masih mahukan keseronokan, terutamanya semasa wanita itu hamil selama sembilan bulan ataupun semasa wanita mengalami masalah menopos semasa mencecah usia 50an. Beliau juga menyarankan diadakan kempen besar-besaran mendidik wanita agar menerima poligami.

Pendapat dangkal dan tidak berasas ini mungkin dimaksudkan sebagai satu senda gurauan memecah kebosanan di dalam dewan perbahasan Parlimen. Namun Wanita JIM melihatnya sebagai satu pandangan mengenai institusi keluarga Islam yang amat perlu diperbetulkan sebelum ianya diterima pakai oleh umum. Dalam masa yang sama Wanita JIM tidak sama sekali menyangkal keharusan hukum berpoligami di dalam Islam ataupun mahu menafikan hikmah-hikmah yang terkandung dalam keharusan hukum tersebut.

Wanita JIM menegaskan realiti hari ini menunjukkan perkahwinan poligami di kalangan umat Islam di Malaysia seringkali dikaitkan dengan pelbagai isu yang sensasi. Di dalam buku bertajuk ` Analisis Poligami Menurut Perspektif Islam', kajian yang dijalankan oleh Prof. Madya Dr. Leha @ Zaleha Muhamat menunjukkan lebih 60% wanita-wanita isteri dan anak-anak yang terseksa dan ditinggalkan suami setelah ia berkahwin dengan isteri yang baru. Jelas terdapat ketidakadilan dan ketidakseimbangan dalam perkahwinan poligami di negara ini, yang kemudiannya membawa kepada penganiayaan, penindasan dan kezaliman. Punca utama kegagalan rumahtangga poligami adalah kejahilan dan kurangnya sikap tanggungjawab pihak terbabit, terutamanya para suami. Poligami bukanlah setakat memenuhi keperluan suami yang `still wanted to have fun' .

Wanita JIM menyarankan agar kempen pendidikan dan panduan berkesan mengenai tanggungjawab dan peranan suami dipertingkatkan segera bagi menyedarkan para lelaki membuat keputusan-keputusan yang bijak, termasuk semasa membuat keputusan mahu berpoligami. `Polygamy is about responsibilities, it is not about having fun!'

Wanita JIM meminta dengan tegas agar ahli-ahli Parlimen berhenti dari mengeluarkan kenyataan sinis serta gurauan berbaur `chauvinistic' dan berat sebelah di masa akan datang demi untuk meraih rasa hormat yang tinggi di kalangan rakyat jelata yang memantau prestasi mereka sebagai wakil-wakil yang diberikan mandat oleh rakyat.

Prof. Madya Dr.Harlina Halizah Siraj

Ketua Wanita JIM Pusat

Wednesday, January 16, 2008

TUNTUTAN WANITA YANG WAJAR DIPERTIMBANGKAN MENJELANG PILIHANRAYA KE- 12

KENNYATAAN MEDIA

WANITA PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA (JIM)

16 Januari 2008

TUNTUTAN WANITA YANG WAJAR DIPERTIMBANGKAN MENJELANG PILIHANRAYA KE- 12

Menjelang Pilihanraya Umum ke-12 yang dijangka diadakan tidak lama lagi, Wanita JIM mengambil kesempatan keemasan ini untuk mengemukakan beberapa tuntutan yang dirasakan wajar dan amat perlu dipertimbangkan oleh semua individu dan parti-parti politik yang ingin bertanding merebut kerusi Parlimen dan ADUN. Kami percaya, parti-parti politik sedang rancak menyediakan manifesto pilihanraya masing-masing dan dengan ini, berharap semua tuntutan yang dikemukakan mendapat pertimbangan sewajarnya serta dimasukkan ke dalam manifesto tersebut.

Antara tuntutan tersebut adalah seperti berikut :

1. Pemberian insentif sebagai penghargaan kepada surirumah sepenuh masa

Rasional : Sumbangan kaum wanita terhadap kemajuan dan kemakmuran negara tidak dapat dinafikan lagi. Dianggarkan sebanyak 36% tenaga kerja Malaysia terdiri dari kaum wanita, Walaubagaimanapun, separuh dari golongan ini merupakan suri rumah yang berkhidmat untuk keluarga dan tidak menerima gaji tetap sebagaimana kategori pekerjaan yang lain. Satu anggaran kasar menunjukkan terdapat 2.79 juta wanita di Malaysia adalah suri rumah sepenuh masa pada tahun 2004 yang lalu. Dikatakan purata gaji tahunan seorang surirumah sepenuh masa di USA pada tahun 2007, adalah pada anggaran USD138,000 ( RM 455,00 setahun atau RM 38,000 sebulan).

Tidak keterlaluan untuk mengatakan jasa dan sumbangan wanita sebagai suri rumah sepenuh masa di negara ini belum mendapat penghargaan dan penghormatan yang sewajarnya. Sedangkan golongan ini menjalankan tugas yang amat penting untuk pembangunan modal insan melalui pengukuhan institusi kekeluargaan yang mampu menghasilkan tenaga manusia yang diperlukan untuk menjana pertumbuhan politik, sosial dan ekonomi negara. Mereka juga merupakan warganegara yang setia, yang tidak pernah ketinggalan menjalankan tanggungjawab politik mereka untuk keluar membuang undi dalam setiap pilihanraya yang diadakan setakat ini.

Wanita JIM menuntut agar pengiktirafan sewajarnya mestilah diberikan oleh kerajaan yang bakal memerintah kepada golongan ini , sebagai satu langkah penghargaan dan mengenang budi. Malaysia seharusnya menjadi sebuah negara yang bukan hanya memartabatkan wanita bekerjaya sahaja, malahan menunjukkan pendirian yang adil dan saksama terhadap golongan ibu dan isteri yang sememangnya dimuliakan Allah. Wanita JIM mencadangkan agar golongan suri rumah diberikan sekurang-kurangnya beberapa insentif seperti di bawah ini :

  • Saguhati wang tunai sebanyak sekurang-kurangnya RM200 setiap bulan
  • Bayaran elaun yang berpatutan mengikut bilangan anak yang dipelihara
  • Ujian saringan kesihatan asas percuma setiap dua hingga tiga tahun sekali

Insentif ini juga wajar diberikan kepada kaum lelaki yang memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa.

2. Sistem kehakiman yang lebih `mesra wanita' dan cekap dalam menangani kes-kes berkaitan keluarga

Rasional : Keupayaan dan kebolehan wanita untuk terlibat secara langsung sebagai penjawat jawatan kehakiman sepatutnya tidak lagi menjadi isu. Syariah Islam telah jelas menggariskan tiadanya halangan untuk perlantikan hakim wanita dalam menghakimi kes-kes berkaitan kekeluargaan khususnya. Namun sehingga kini, hakim wanita masih belum dilantik di mahkamah syariah. Dikatakan masih terdapat golongan atasan dan berpengaruh yang tidak bersetuju perlantikan wanita menjadi hakim di mahkamah syariah.

Situasi kekurangan hakim serba sedikit menyumbang kepada penangguhan kes-kes berkaitan perceraian, tuntutan nafkah dan jagaan anak. Longgokan kes-kes tertangguh tidak hanya terdapat di mahkamah syariah, malahan dikatakan juga di mahkamah sivil. Kajian perbandingan yang dijalankan oleh Prof. Madya Noor Aziah Awal , pensyarah UKM pada tahun 2001 menunjukkan sebanyak kira-kira 19% kes perceraian masih tertangguh di mahkamah syariah Negeri Selangor dalam masa 12 bulan berbanding 30% di mahkamah sivil.

Kerajaan yang bakal menerajui negara selepas pilihanraya kali ini didesak untuk memastikan mahkamah-mahkamah di Malaysia meletakkan keutamaan untuk menangani konflik keluarga dengan baik dan sejahtera, terutamanya yang melibatkan pertembungan agama dan budaya. Pendekatan yang lebih mementingkan kebajikan dan masa depan ahli keluarga khususnya anak-anak yang terbabit mestilah diutamakan melalui perundingan luar mahkamah, melibatkan orang tengah ( sistem suluh) dan kaunselor keluarga secara aktif, dan bukannya terus diselesaikan di dalam bilik-bilik mahkamah. Negeri-negeri yang masih belum melaksanakan sistem suluh ( mediator / orang tengah) dalam sistem kehakiman syariah digesa melaksanakannya dengan kadar yang segera.

3. Keselamatan wanita dan kanak-kanak terjamin dan terpelihara

Rasional : Kebelakangan ini, kadar jenayah berprofil tinggi yang melibatkan wanita dan kanak-kanak begitu membimbangkan. Tempat umum mahupun rumah sendiri tidak lagi menjadi tempat yang selamat untuk wanita dan kanak-kanak. Pembunuhan adik Nurin Jazlin dan kehilangan Sharlinie memberi petanda jelas persekitaran kita tidak lagi selamat. Penguatkuasaan undang-undang ciptaan manusia nampaknya gagal menimbulkan kegerunan pada pelaku-pelaku yang kejam dan tanpa perikemanusiaan ini.

Kerajaan yang bakal memerintah mestilah berusaha keras untuk mengelakkan tragedi pembunuhan kejam berulang melalui kesungguhan dan komitmen mempertingkatkan keselamatan, menangani masalah penagihan dadah yang menjadi punca utama jenayah, menimbulkan kesedaran terhadap tanggungjawab ibu dan bapa serta meningkatkan kemahiran pengurusan keluarga masing-masing. Penggubalan undang-undang yang berdasarkan Al-Quran dan Sunnah, penguatkuasaan yang lebih efektif dan bebas dari sebarang unsur rasuah akan dijamin mampu menimbulkan keharmonian dan kesejahteraan yang diidam-idamkan.

Wanita JIM mendesak agar semua parti-parti politik mengambil perhatian terhadap semua tuntutan di atas dan memastikan kesemuanya dimasukkan ke dalam manifesto pilihanraya mereka. Ke arah Malaysia yang lebih sejahtera, aman makmur dan bahagia untuk semua!

Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj

Ketua Wanita JIM Pusat ( 2007-2009)

012-3243134

PULANGKAN SEGERA SHARLINIE KE PANGKUAN KELUARGA DENGAN SELAMAT


Kenyataan Media

Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)

16 Januari 2008

PULANGKAN SEGERA SHARLINIE KE PANGKUAN KELUARGA DENGAN SELAMAT!

Wanita JIM menyuarakan kebimbangan yang amat sangat terhadap perkembangan kes kehilangan adik Sharlinie Mohd Nashar yang sudah masuk hari ketujuh. Usaha mencari yang dipergiat ke seluruh negara belum menghasilkan sebarang petanda yang positif. Dengan hanya jarak waktu kurang empat bulan dari kejadian kes tragedi Nurin Jazlin, kehilangan Sharlinie menimbulkan kegusaran dan kegelisahan yang memuncak dalam masyarakat mengenai tahap keselamatan anak-anak di persekitaran komuniti setempat.

Selain dari mendoakan kesejahteraan Sharlinie sepanjang masa, Wanita JIM terpanggil untuk menyumbang sedikit bakti bagi membantu Encik Nashar dan keluarga menjejaki adik Sharlinie melalui mekanisme berikut :

1. Melancarkan kempen menyebarkan maklumat mengenai kehilangan Sharlinie melalui Pusat Sokongan Wanita dan Keluarga Islah (PAKSI-JIM)

2. Menyediakan kira-kira 10,000 `flyers' dengan gambar Sharlinie dan maklumat dalam semua bahasa utama : Bahasa Malaysia, English, Mandarin dan Tamil

3. Menggerakkan Wanita JIM di semua negeri untuk turun padang menyebarkan `flyers' mengenai Sharlinie kepada awam

4. Menggunakan talian hotline PAKSI-JIM untuk penyaluran maklumat kepada pihak polis ( bertujuan untuk mengurangkan beban Encik Nashar sekeluarga yang perlu melayani sendiri maklumat-maklumat yang disampaikan oleh orang ramai)

Sementara itu Wanita JIM merayu sesiapa yang terlibat dengan kehilangan Sharlinie agar segera mengembalikan Sharlinie yang tidak berdosa kepada keluarga yang begitu menanti kepulangannya, dengan selamat dan sejahtera - fizikal, emosi dan mindanya. Jenayah melibatkan kanak-kanak sebagai mangsa menggambarkan kerendahan moral dan kehilangan pertimbangan kemanusiaan yang waras.

Wanita JIM mengambil peluang ini untuk menyeru semua ibu dan bapa serta orang dewasa dalam masyarakat untuk meningkatkan keprihatinan dan tanggungjawab melindungi kanak-kanak kecil yang masih belum berdaya melindungi diri mereka sendiri. Pihak berkuasa juga didesak melipat-gandakan usaha menjejaki pelaku jenayah ini untuk dibawa ke muka pengadilan dengan kadar yang segera!

Buat keluarga Sharlinie, didoakan agar terus tabah dan tidak putus asa memohon pertolongan Allah SWT agar Sharlinie segera kembali ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat sejahtera. Amin.

Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj

Ketua Wanita JIM Pusat

Sesi 2007-2009