Wednesday, February 21, 2007

Respon kepada Cadangan Penubuhan Tabung Khas Bantu Ibu

KENYATAAN MEDIA

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)

21 Februari 2007


Respon kepada Cadangan Penubuhan Tabung Khas Bantu Ibu


Wanita JIM mengalu-alukan cadangan yang dikemukakan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman supaya satu tabung khas diwujudkan bagi meringankan beban kewangan isteri dan anak jika berlaku masalah dalam perkahwinan sebagaimana yang dilaporkan dalam akhbar hari ini. Dalam cadangan yang dikemukakan Sheikh Ghazali yang juga Ketua Hakim Syarie itu, beliau berkata, lelaki yang ingin berkahwin diwajibkan memberi sumbangan kepada tabung itu dan jumlah berkenaan akan bertambah setiap kali pasangan berkahwin itu memperoleh anak.Cadangan tersebut tentunya dikemukakan oleh JKSM memandangkan realiti semasa yang mendapati semakin ramai wanita dan kanak-kanak yang teraniaya apabila suami dan bapa mereka melepaskan tanggungjawab menyara keluarga mereka dengan sewenang-wenangnya. Apa yang nyata, seorang suami yang serius menjalankan tanggungjawab terhadap keluarga sudah sememangnya wajar menyediakan peruntukan berbentuk perlindungan takaful dan tabungan khas bagi menghadapi sebarang kemungkinan di masa akan datang.


Wanita JIM merasakan sudah tiba masanya semua pihak memandang serius gejala keruntuhan rumahtangga terutamanya di kalangan keluarga Islam di negara ini. Perceraian akan meninggalkan kesan mendalam kepada semua ahli keluarga, bukan sahaja isteri dan anak-anak, malahan juga lelaki sebagai suami dan bapa. Tidak dapat dinafikan, adakalanya perceraian menjadi titik mula kepada sebuah kehidupan baru yang lebih sejahtera. Itulah juga antara sebab mengapa Islam membenarkan peceraian berlaku di antara pasangan suami isteri. Namun sekiranya perceraian terhasil dari kegagalan kedua pasangan bertindak mengikut kewarasan dan kematangan, diburukkan lagi dengan ketidakmampuan mengendalikan aspek ekonomi keluarga dan emosi masing-masing, perceraian menjadi permulaan sebuah kisah hidup yang penuh duka dan lara.


Wanita JIM meminta semua pihak dalam masyarakat mengikuti langkah JKSM yang proaktif cuba memainkan peranannya bagi membaiki situasi ini. Namun Wanita JIM merasakan, masih banyak langkah-langkah pencegahan yang mesti diambil untuk mengelakkan dari keruntuhan institusi rumahtangga tersebut, dan bukannya hanya mengadakan langkah-langkah preskriptif dalam bentuk perundangan seperti penubuhan tabungan bantuan khas yang dikhususkan untuk isteri-isteri malang yang ditinggalkan para suami yang tidak bertanggungjawab. Dengan kata lain, cadangan yang mewajibkan suami menyumbang kepada tabungan khas ini seolah-olah membuat satu anggapan bahawa perceraian di masa akan datang amat mungkin berlaku. Ia menimbulkan satu persoalan yang besar: Adakah itu matlamat utama sebuah perkahwinan hari ini – dibubarkan dengan kadar segera sekiranya tiada lagi keserasian antara pasangan?


Wanita JIM menyarankan agar :


  1. semua anggota masyarakat khususnya kaum keluarga memberikan sokongan yang mantap kepada pasangan yang berkahwin, terutamanya di waktu awal lima tahun usia perkahwinan. Ini disebabkan pasangan muda ini selalunya berhadapan dengan masalah komunikasi, kewangan, kerjaya dan penjagaan anak-anak kecil.

  2. saluran bantuan berupa kaunseling dan khidmat nasihat mudah diperolehi oleh isteri dan suami yang sedang menghadapi masalah dalam komunikasi rumahtangga. Kempen Satu Keluarga Satu Kaunselor yang dilancarkan baru-baru ini, pastinya dapat membantu sekiranya ianya berjaya dilaksanakan.

  3. kursus-kursus pra perkahwinan yang selama ini dijalankan haruslah dinilai semula keberkesanannya, di samping mengadakan pembaharuan dalam konteks isi kandungan dan cara pelaksanaan modul disampaikan kepada bakal-bakal isteri dan suami.

  4. mewajibkan media massa elektronik khususnya televisyen, memberikan keutamaan kepada program-program berbentuk pendidikan kemahiran berumahtangga dan komunikasi , bukannya semata-mata memberikan penekanan kepada program hiburan yang merupakan satu bentuk `escapism’ yang tidak mampu menyelesaikan sebarang permasalahan umum.




Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj ( 012-3243134)

Ketua Wanita Pusat Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)


No comments: