Friday, May 30, 2008

Poligami Bukan Penyelesai Semua Masalah Rumahtangga




30/05/2008


KENYATAAN MEDIA

WANITA PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA (JIM)

29 Mei 2008

POLIGAMI BUKAN PENYELESAI SEMUA MASALAH RUMAHTANGGA

Wanita JIM merasa amat terkilan dengan pandangan dan saranan yang diutarakan oleh Ahli Parlimen Bebas dari Pasir Mas, YB Ibrahim Ali semasa perbincangan mengenai permasalahan wanita berurusan dengan Mahkamah Syariah diadakan dalam sesi Parlimen hari Jumaat lalu. Beliau dikatakan menyampuk perbincangan tersebut sambil mengatakan permasalahan rumahtangga dan keluarga berpunca dari keengganan wanita menerima poligami. Menurut laporan akhbar The STAR online bertarikh 23 Mei 2008, beliau berpandangan wanita tidak memahami keperluan suami yang masih mahukan keseronokan, terutamanya semasa wanita itu hamil selama sembilan bulan ataupun semasa wanita mengalami masalah menopos semasa mencecah usia 50an. Beliau juga menyarankan diadakan kempen besar-besaran mendidik wanita agar menerima poligami.

Pendapat dangkal dan tidak berasas ini mungkin dimaksudkan sebagai satu senda gurauan memecah kebosanan di dalam dewan perbahasan Parlimen. Namun Wanita JIM melihatnya sebagai satu pandangan mengenai institusi keluarga Islam yang amat perlu diperbetulkan sebelum ianya diterima pakai oleh umum. Dalam masa yang sama Wanita JIM tidak sama sekali menyangkal keharusan hukum berpoligami di dalam Islam ataupun mahu menafikan hikmah-hikmah yang terkandung dalam keharusan hukum tersebut.

Wanita JIM menegaskan realiti hari ini menunjukkan perkahwinan poligami di kalangan umat Islam di Malaysia seringkali dikaitkan dengan pelbagai isu yang sensasi. Di dalam buku bertajuk ` Analisis Poligami Menurut Perspektif Islam', kajian yang dijalankan oleh Prof. Madya Dr. Leha @ Zaleha Muhamat menunjukkan lebih 60% wanita-wanita isteri dan anak-anak yang terseksa dan ditinggalkan suami setelah ia berkahwin dengan isteri yang baru. Jelas terdapat ketidakadilan dan ketidakseimbangan dalam perkahwinan poligami di negara ini, yang kemudiannya membawa kepada penganiayaan, penindasan dan kezaliman. Punca utama kegagalan rumahtangga poligami adalah kejahilan dan kurangnya sikap tanggungjawab pihak terbabit, terutamanya para suami. Poligami bukanlah setakat memenuhi keperluan suami yang `still wanted to have fun' .

Wanita JIM menyarankan agar kempen pendidikan dan panduan berkesan mengenai tanggungjawab dan peranan suami dipertingkatkan segera bagi menyedarkan para lelaki membuat keputusan-keputusan yang bijak, termasuk semasa membuat keputusan mahu berpoligami. `Polygamy is about responsibilities, it is not about having fun!'

Wanita JIM meminta dengan tegas agar ahli-ahli Parlimen berhenti dari mengeluarkan kenyataan sinis serta gurauan berbaur `chauvinistic' dan berat sebelah di masa akan datang demi untuk meraih rasa hormat yang tinggi di kalangan rakyat jelata yang memantau prestasi mereka sebagai wakil-wakil yang diberikan mandat oleh rakyat.

Prof. Madya Dr.Harlina Halizah Siraj

Ketua Wanita JIM Pusat

2 comments:

cendrawasih said...

Mungkin apa yang dikomen oleh Pasir Mas itu satu gurauan yang tidak kena pada tempatnya atau sekadar ingin menggamatkan dewan. Apapun hakikatnya memang ada benar bahawa poligami boleh menyelesaikan masalah yang sesuai dengannya sahaja tapi bukan sesuai dengan sesetengah masalah yang lain.

Perlu juga difikirkan kenapa pada zaman Rasulullah SAW dulu poligami amat diterima oleh semua golongan sama ada si janda, si isteri, si suami, si anak, si ayah, si mentua, si biras dan sebagainya. Kalau dilihat bagaimana tawaduq dah tahap keimanan mereka yang menjadi sahabat dan sezaman dengan Nabi. Seolah-olah dapat melihat neraka, syurga, duniawi, akhirat dan nilai mati itu hanya seperti jiran sebelah sahaja. Taqwa dan iman dapat dirasakan seperti duduk dalam bilik air pun Allah boleh nampak.

Tapi tengok sekarang, bacakan ayat-ayat Allah, hati pasti gementar tapi takat tu je lah, Habis baca, hilang ntah ke mana maksud tuntutan ayat-ayat Allah tadi. Poligami bukan tak sesuai tapi pengamal poligami tu dah tidak boleh sesuai dengan tuntutan dan pengisian yang harus ada dalam menjayakan nilai suci yang ada dalam poligami. Maka wajarnya, kalau semua orang faham syarat yang wujud dalam poligami, wanita memahami kelebihan berpoligami dari sudut nilai iman dan taqwa, sudah tentu wanita tidak boleh mengatakan tidak pada poligami, kena takut akan hukum dan silelaki pula, wajar penuhi sifat dan nilai taqwa seperti mana tuntutan zaman Rasullah SAW dulu.

Norwati Jamaludin said...

Didikan dalam soal penerimaan dan menjalankan poligami bukan hanya untuk lelaki muslim sahaja, sepatutnya ditujukan juga kepada wanita2 islam(termasuk isteri2, perempuan2 yg belum dan sudah berkahwin serta janda2), anak2, ibu2 dan mertua2. agar mereka faham kedudukan poligami yg sebenar2nya.

sbb poligami perlukan kefahaman semua pihak, andai hanya lelaki shj yg faham tanpa kefahaman isteri nya, mungkin halangan utk berpoligami akan lebih sukar, begitu juga utk bakal2 isteri kedua, ketiga & keempat.

memang benar saranan rasulullah... kalau nak pilih pasangan hidup, ugama itu adalah keutamaan, hanya org yg faham tentang ugama dan poligami boleh menerima kelemahan dan kelebihan pasangannya dan bakal madunya/isterinya.

Saya sarankan agar tajuk ini dimasukkan di dalam silibas kursus perkahwinan dan salah satu tajuk yg wajib ditekankan.

insyaallah.