Friday, May 30, 2008

ISU SARANAN PENILAIAN SEMULA BAJU KURUNG PUTIH SEKOLAH UNTUK PELAJAR PEREMPUAN

KENYATAAN MEDIA

WANITA PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA (JIM)

29 Mei 2008

Wanita JIM mengikuti perkembangan semasa ekoran saranan penilaian semula baju kurung putih sekolah yang dipakai oleh pelajar-pelajar perempuan yang dikemukakan oleh Saudari Munirah Bahari, Naib Presiden Majlis Hal Ehwal Siswi (HEWI), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) melalui siaran media bertarikh 21 Mei yang lalu.

Wanita JIM berbangga dengan keprihatinan dan keberanian pihak HEWI PKPIM mengeluarkan siaran media menyentuh mengenai permasalahan sosial dan gejala seksual di kalangan remaja. Sebagai sebuah pertubuhan pelajar di peringkat kebangsaan, sudah seharusnya PKPIM sentiasa lantang menyuarakan pandangan dan pendirian serta cadangan mereka demi untuk proses penambahbaikan masyarakat, sesuai dengan moto PKPIM ` Hidup Biar Berjasa'.

Seperti yang dijangkakan, saranan HEWI PKPIM agar baju kurung sekolah berwarna putih dinilai semula kerana dikatakan terlalu jarang dan boleh menyebabkan tarikan kepada lelaki dan menyumbang kepada berlakunya gejala seksual di kalangan pelajar sekolah, menimbulkan pelbagai reaksi dari banyak pihak. Antaranya dari Menteri Pelajaran sendiri, wakil-wakil pertubuhan wanita seperti Sisters in Islam (SIS) dan Women's Aids Organization (WAO) yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut yang dianggap tidak berasas dan kurang tepat. Kenyataan balas PKPIM mengenai isu tersebut yang dikeluarkan pada 23 Mei, tetap mempertahankan saranan mereka dengan mengemukakan lima asas kepada cadangan tersebut.

Wanita JIM telah sekelian lama menegaskan bahawa permasalahan sosial dan gejala seksual yang semakin menjadi-jadi di kalangan pelajar sekolah di Malaysia sebenarnya berpunca dari krisis nilai dan hakisan pegangan agama serta moral yang sedang hebat melanda masyarakat hari ini. Tiada penyelesaian mudah dan simplistik yang akan berjaya mengatasi masalah ini, tidak juga sebarang perubahan polisi dan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat – selagi mana asas kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan negara tidak diletakkan di atas landasan aqidah dan kepercayaan yang mantap, nilai kemanusiaan serta sifat hormat-menghormati sesama insan yang teguh dan kukuh.

Baju kurung seragam berwarna putih telah sekian lama dipakai oleh pelajar perempuan ke sekolah di Malaysia tanpa menimbulkan sebarang masalah. Melalui bimbingan dan pedoman ibu bapa dan guru, pelajar perempuan mengatasi masalah `kejarangan' baju kurung seragam kain kapas putih itu dengan cara terbaik – sama ada dengan bertudung ataupun memakai pakaian dalam atau `camisole'. Kebiasaan itu tidak seharusnya dianggap sebagai sesuatu yang kolot dan tidak mengikut peredaran masa, memandangkan zaman persekolahanlah waktu paling sesuai untuk menyemai amalan etiket berpakaian yang sesuai dengan pegangan agama dan budaya tempatan di kalangan remaja lelaki dan perempuan.

Namun tidak dapat dinafikan, hari ini terdapatnya segelintir pelajar sekolah yang tidak mematuhi norma-norma serta etiket cara berpakaian yang sewajarnya. Berpakaian seragam baju kurung putih yang agak jarang tanpa memakai pakaian dalam / camisole atau tudung yang sempurna, akan menampakkan baju dalam dan susuk tubuh yang tentunya kurang sesuai dan tidak manis dipandang mata di khalayak umum. Fenomena inilah yang menjadi kerisauan dan kebimbangan PKPIM, sehingga mereka menyarankan kepada Kementerian Pelajaran agar menilai semula warna putih baju kurung sekolah dengan kadar yang segera.

Wanita JIM berpandangan saranan tersebut sebenarnya agak simplistik dan kurang efektif serta praktikal untuk menangani permasalahan sosial yang semakin meruncing. Wanita JIM berharap cadangan itu tidak menggambarkan tanggapan bahawa wanita adalah semata-mata objek seksual yang bertanggungjawab sepenuhnya menjaga moral masyarakat. Golongan pelajar perempuan yang didapati berpakaian secara kurang sopan mestilah dididik dan dinasihati oleh ibu bapa, golongan dewasa dan para guru melalui pendekatan yang efektif dan berhemah, agar remaja ini menyedari akan tanggungjawab mereka menghormati tubuh badan sendiri di samping bijak membuat pilihan yang baik untuk kepentingan diri dan kebaikan orang lain. Proses pendidikan ini juga haruslah merangkumi pelajar lelaki yang perlu didedahkan kepada sikap tanggungjawab yang tinggi di samping saling hormat - menghormati dalam hubungan silang jantina. Kawalan yang lebih efektif mestilah dikenakan terhadap unsur-unsur lucah yang dipaparkan dalam media elektronik, media cetak dan internet yang sememangnya mempunyai kesan negatif terhadap minda muda remaja.

Dalam masa yang sama, Wanita JIM turut merakamkan rasa bimbang yang amat sangat terhadap penglibatan remaja lelaki dan perempuan di Malaysia dengan gaya hidup hedonisme yang keterlaluan menyembah kemewahan, keseronokan dan materialisme, pergaulan bebas, tingkah laku seksual tanpa batas dan ketagihan arak serta dadah. Wanita JIM mahu semua pihak terutamanya di kalangan pemerintah atasan negara untuk memberikan keutamaan yang tinggi kepada penyelesaian terhadap keruntuhan moral dan akhlak remaja hari ini yang rata-ratanya berpunca dari hakisan pegangan hidup beragama dan kemerosotan nilai moral. Ingatlah pepatah Melayu : ` Pemuda harapan bangsa, Pemudi tiang negara.' Janganlah hendaknya Malaysia `runtuh' disebabkan golongan muda yang tidak mampu menjadi harapan dan tiang seri bagi pembangunan di masa hadapan.

Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj

Ketua Wanita Pusat

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)



D


Poligami Bukan Penyelesai Semua Masalah Rumahtangga




30/05/2008


KENYATAAN MEDIA

WANITA PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA (JIM)

29 Mei 2008

POLIGAMI BUKAN PENYELESAI SEMUA MASALAH RUMAHTANGGA

Wanita JIM merasa amat terkilan dengan pandangan dan saranan yang diutarakan oleh Ahli Parlimen Bebas dari Pasir Mas, YB Ibrahim Ali semasa perbincangan mengenai permasalahan wanita berurusan dengan Mahkamah Syariah diadakan dalam sesi Parlimen hari Jumaat lalu. Beliau dikatakan menyampuk perbincangan tersebut sambil mengatakan permasalahan rumahtangga dan keluarga berpunca dari keengganan wanita menerima poligami. Menurut laporan akhbar The STAR online bertarikh 23 Mei 2008, beliau berpandangan wanita tidak memahami keperluan suami yang masih mahukan keseronokan, terutamanya semasa wanita itu hamil selama sembilan bulan ataupun semasa wanita mengalami masalah menopos semasa mencecah usia 50an. Beliau juga menyarankan diadakan kempen besar-besaran mendidik wanita agar menerima poligami.

Pendapat dangkal dan tidak berasas ini mungkin dimaksudkan sebagai satu senda gurauan memecah kebosanan di dalam dewan perbahasan Parlimen. Namun Wanita JIM melihatnya sebagai satu pandangan mengenai institusi keluarga Islam yang amat perlu diperbetulkan sebelum ianya diterima pakai oleh umum. Dalam masa yang sama Wanita JIM tidak sama sekali menyangkal keharusan hukum berpoligami di dalam Islam ataupun mahu menafikan hikmah-hikmah yang terkandung dalam keharusan hukum tersebut.

Wanita JIM menegaskan realiti hari ini menunjukkan perkahwinan poligami di kalangan umat Islam di Malaysia seringkali dikaitkan dengan pelbagai isu yang sensasi. Di dalam buku bertajuk ` Analisis Poligami Menurut Perspektif Islam', kajian yang dijalankan oleh Prof. Madya Dr. Leha @ Zaleha Muhamat menunjukkan lebih 60% wanita-wanita isteri dan anak-anak yang terseksa dan ditinggalkan suami setelah ia berkahwin dengan isteri yang baru. Jelas terdapat ketidakadilan dan ketidakseimbangan dalam perkahwinan poligami di negara ini, yang kemudiannya membawa kepada penganiayaan, penindasan dan kezaliman. Punca utama kegagalan rumahtangga poligami adalah kejahilan dan kurangnya sikap tanggungjawab pihak terbabit, terutamanya para suami. Poligami bukanlah setakat memenuhi keperluan suami yang `still wanted to have fun' .

Wanita JIM menyarankan agar kempen pendidikan dan panduan berkesan mengenai tanggungjawab dan peranan suami dipertingkatkan segera bagi menyedarkan para lelaki membuat keputusan-keputusan yang bijak, termasuk semasa membuat keputusan mahu berpoligami. `Polygamy is about responsibilities, it is not about having fun!'

Wanita JIM meminta dengan tegas agar ahli-ahli Parlimen berhenti dari mengeluarkan kenyataan sinis serta gurauan berbaur `chauvinistic' dan berat sebelah di masa akan datang demi untuk meraih rasa hormat yang tinggi di kalangan rakyat jelata yang memantau prestasi mereka sebagai wakil-wakil yang diberikan mandat oleh rakyat.

Prof. Madya Dr.Harlina Halizah Siraj

Ketua Wanita JIM Pusat