Monday, September 24, 2007

TRAGEDI MENIMPA NURIN – SATU TAZKIRAH RAMADHAN

KENYATAAN MEDIA

WANITA PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA (JIM)

22 September 2007

TRAGEDI MENIMPA NURIN – SATU TAZKIRAH RAMADHAN

Wanita JIM merakamkan perasaan sedih yang teramat sangat di atas berita pembunuhan kejam anak perempuan comel yang tidak berdosa, Nurin Jazlin setelah hampir empat minggu kehilangannya dihebohkan di akhbar tempatan. Ucapan takziah ditujukan khas kepada ibu dan bapa Allahyarhamah serta keluarganya yang tentu sekali begitu terkesan oleh insiden malang yang menimpa Nurin. Sesungguhnya, nama Nurin akan bersemadi selama-lamanya dalam hati setiap rakyat Malaysia yang turut sama berkabung di atas pemergiannya.

Wanita JIM mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam dan sadis yang dilakukan oleh pembunuh yang sudah hilang perasaan perikemanusiaannya. Insiden tragis ini ternyata mencemarkan kesucian bulan Ramadhan yang mulia dan suci ini, di mana kebanyakan umat Islam sedang berusaha mempertingkatkan dan membersihkan diri dari dosa dan noda. Kisah sedih Nurin kini menjadi satu lagi peristiwa hitam keganasan seksual terhadap kanak-kanak dan wanita yang berlaku di tanahair tercinta ini. Tragedi ini mengingatkan kita semua kepada peristiwa yang menimpa Allahyarhamah adik Nurul Huda dan ramai lagi mangsa keganasan seksual sebelum ini. Namun ternyata, segala tindakan, akta dan hukuman yang dijalankan selama ini masih tidak mampu menghalang manusia pemangsa yang kejam dan tidak berhati perut ini dari terus mencari mangsanya. Siapakah pula mangsa seterusnya? Persoalan ini akan mencetuskan satu suasana gerun dan ketakutan yang semakin menyelubungi masyarakat hari ini.

Seperti juga biasa, tragedi ini akan mencetuskan dan membangkitkan perasaan marah yang meruap-ruap di kalangan orang ramai. Cadangan demi cadangan dianjurkan, tindakan dan hukuman diperketatkan. Tidak kurang juga yang cuba meletakkan kesilapan dan kesalahan di atas bahu pihak tertentu seperti ibu bapa dan pihak berkuasa. Seringkali pula, reaksi spontan sebegitu perlahan-lahan hilang dan pudar ditelan masa. Tidak mungkin kita akan dapat membasmi jenayah seksual ini dengan tindakan `hangat-hangat tahi ayam', sebaliknya amat perlu kita membuat muhasabah diri dan refleksi yang jujur bagi mencari punca dan penyebab utama jenayah seperti ini berlaku.

Wanita JIM sudah seringkali menekankan, fenomena peningkatan keganasan seksual di kalangan masyarakat berkait rapat dengan longgarnya ikatan spiritualiti dan lunturnya pegangan akidah individu. Tanpa adanya perasaan takut kepada kemurkaan Tuhan dan rasa harap kepada keredhaan-Nya, jiwa manusia dengan mudah diperdayakan oleh nafsu syahwatnya. Apabila syahwatnya mengganas dan menjadi raja, individu tersebut tidak akan teragak-agak melakukan sesuatu yang di luar dari jangkaan kebiasaan kita. Integriti dan amanah tidak lagi menjadi identiti diri. Perkara pokok mengenai keteguhan iman dan takwa inilah yang perlu ditanamkan setiap masa dan ketika dalam diri individu terutamanya generasi muda.

Wanita JIM meminta ibu bapa memuhasabah diri secara jujur dan telus, menilai semula sejauhmanakah konsep akidah dan kepercayaan ini berakar umbi dalam jiwa anak-anak mereka. Disamping mencadangkan agar ibu bapa sentiasa lebih peka dengan aspek keselamatan anak-anak di luar rumah, sepertimana yang sering diperkatakan, Wanita JIM benar-benar menyarankan agar kesemua ibu bapa memastikan anak-anak mereka dididik dengan acuan nilai dan moral yang tinggi, berpaksikan kepercayaan agama yang dianuti. Fahaman materialistik dan gaya hidup hedonistik yang begitu berleluasa di kalangan keluarga moden hari ini, mestilah digantikan dengan cara hidup sederhana yang menekankan tentang integriti, amanah dan keseimbangan.

Jika para ibu bapa di Malaysia masih leka dan terus menerus melakukan kesilapan membesarkan dan mendidik anak-anak mereka, jangan terkejut sekiranya kita sebenarnya sedang membesarkan satu generasi penjenayah yang berhati kejam dan tidak berperikemanusiaan. Bukankah sudah tiba masanya setiap seorang dari kita melakukan refleksi tersebut?

Pihak berwajib disarankan memberikan fokus yang serius dalam usaha menanamkan nilai agama dan kerohanian yang tinggi kepada ahli-ahli masyarakat. Keseimbangan hidup mengejar dunia dan akhirat akan mencetuskan manusia yang kompetatif dan berdaya-saing tinggi. Dalam masa yang sama, Wanita JIM menuntut agar segala unsur-unsur yang terbukti merosak jati diri generasi muda dan dewasa ditangani dengan tegas, berkesan dan berhemah.

PASTIKAN KEMATIAN NURIN TIDAK SIA-SIA. JADIKAN IA SATU TITIK MULA UNTUK MASYARAKAT KEMBALI KEPADA ASAS AKIDAH YANG MANTAP DAN KUKUH.

Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj

Ketua Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)

012-3243134

__._,_.___